Ahad, 31 Julai 2011

Selamat menyambut bulan Ramadhan.

UMUM, 31 Julai: Hafzan Shafiq bin Hamdan (HSBH) mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan 1432H yang bakal bermula esok (1hb Ogos). Dia mengharapkan supaya bulan ini dapat diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan ibadah-ibadah keagamaan. Penentuan tarikh mulanya puasa akan ditentukan oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-raja apabila anak bulan Ramadhan muncul.
Sementara itu, dilampirkan jadual waktu berbuka puasa dan imsak bagi daerah-daerah di negeri Terengganu. Lampiran ini dipetik daripada blog Beliamuda dot com:
PAUTAN:
http://beliamuda.com/2011/07/jadual-waktu-berbuka-dan-imsak-bagi-negeri-terengganu-1432h2011/
LAMPIRAN:
Terengganu

Pada bulan Ramadhan, HSBH bakal berpuasa hampir sebulan di kampus Kolej Universiti TATI. Semester pertama HSBH akan bermula pada 2hb Ogos ini.
*Untuk tempat HSBH tinggal, sila lihat di 'Dungun dan Kemaman'. Tertakluk kepada perubahan.

Rabu, 13 Julai 2011

Sesi pendaftaran diawalkan.

PERIBADI, 13 Julai: Pendaftaran HSBH ke Kolej Universiti TATI (TATIUC) diawalkan kepada 24hb Julai ini; berdasarkan surat yang diterima oleh HSBH baru-baru ini.
Ia mungkin menyebabkan persediaan HSBH menjadi semakin singkat, namun HSBH mula membuat persediaan awal.
Pendaftaran diawalkan untuk beberapa kursus saja, termasuklah kursus yang HSBH ambil, iaitu Seni Reka Grafik dan Media Kreatif, namun pendaftaran kursus-kursus lain akan diadakan pada tarikh yang sama (27hb Julai). Selepas pendaftaran, Minggu Haluan Siswa (MHS) 2011 akan berlangsung selama 3 hari mulai 24hb hingga 26hb Julai ini.
Antara kursus-kursus yang diawalkan pendaftarannya ialah kursus-kursus dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (FTKP), kursus-kursus dari Fakulti Kejuruteraan Media Teknologi (FKMT), kursus-kursus 'Foundation' dari Pusat Pengajian dan Persediaan Am dan kursus-kursus Sijil ('Certificate'). Kursus-kursus lain yang ditawarkan memulakan pendaftaran pada 27hb Julai 2011. Minggu Haluan Siswa berlangsung selama seminggu mengikut sesi pengambilan yang berdaftar pada 24 dan 27hb Julai. Majlis penutup Minggu Haluan Siswa akan diadakan pada 30hb Julai.

Sabtu, 9 Julai 2011

Jalan-jalan ditutup akibat perhimpunan haram.

DALAM NEGERI, 9 Julai: Perhimpunan haram yang diadakan oleh BERSIH semakin hangat diperkatakan dan ia berlaku hari ini. Perhimpunan ini diadakan sekitar Kuala Lumpur yang menyebabkan beberapa jalan di Kuala Lumpur ditutup untuk 'memberi laluan' kepada perhimpunan tersebut. Petikan berikut dipetik daripada laman web Utusan Online: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_42.htm iaitu mengenai beberapa jalan yang ditutup tersebut. Sebanyak 58 buah jalan ditutup dan ia terletak di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Sabtu, 2 Julai 2011

Larian 1Murid 1Sukan dapat sambutan!

SEKOLAH, 02 Julai: Biarpun larian bermula lewat sedikit daripada perancangan iaitu pada hampir 8.00 pagi, namun sambutannya agak diterima semua pelajar. Itulah yang dapat disimpulkan daripada program larian dan pelancaran "1Murid 1Sukan 1Malaysia" yang berlangsung hari ini.
Aturcara bermula pada 6.30 pagi namun tidak ramai yang datang pada pagi tersebut. Selepas beberapa minit kemudian kelihatan beberapa orang pelajar datang ke sekolah kemudiannya. Aturcara ini diadakan di SMKPaka namun kemungkinan masyarakat dan ibu bapa kepada para pelajar tersebut tidak dapat hadir.
Program larian ini dimulakan dengan perhimpunan khas, di mana semua pelajar dihimpunkan di dataran sekolah. Kemudian, kedatangan pelajar diambil bagi memastikan tiada seorang pun tertinggal. Seperti dalam aturcara, sebenarnya diperdengarkan ucapan perutusan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin yang juga Menteri Pelajaran yang merasmikan Larian "1Murid 1Sukan 1Malaysia" (1M 1S 1M) di peringkat kebangsaan, namun ia tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab teknikal. Seterusnya, para pelajar melakukan senaman regangan untuk memudahkan pergerakan mereka. Kemudian, barulah mereka boleh ber'lari' bersama-sama pada hampir jam 8.00 pagi. Tapi, ini bukan larian semata-mata, pelajar-pelajar tersebut hanyalah berjalan dalam kawasan kampung yang berdekatan. Tiada hadiah ditawarkan untuk acara ini.
Pulang daripada larian, para pelajar dapat sebuah botol air mineral dan roti sebagai penghilang dahaga dan lapar dan mereka mengambil kesempatan untuk berehat sebentar sementara menunggu acara seterusnya; iaitu Sukaneka Tingkatan bersempena program pelancaran 1M 1S 1M.
Terdapat bebrapa aktiviti sukaneka dipertandingkan (tetapi tiada hadiah ditawarkan setakat ini); antaranya 'Alien Game', 'Explorace', bola keranjang, bola jaring dan permainan tarik tali yang melibatkan kesemua pelajar Tingkatan 1 hingga 5. Sesudah kesemua permainan itu tamat, satu acara penutupan program diadakan dan Pengetua diberi penghormatan untuk menutup program ini. Dalam acara itu, pihak sekolah dengan gembiranya mengumumkan cuti peristiwa bagi sekolah tersebut pada keesokan harinya atas sambutan yang hebat daripada pelajar.
Ternyata sambutan yang diberikan amat menggalakkan, bukan setakat di sekolah ini saja, malah seluruh sekolah di Malaysia dengan pelancaran program itu di peringkat kebangsaan yang berlangsung di Taiping, Perak mendapat sembutan yang meriah. Ia bermatlamatkan seorang murid/pelajar sekolah mesti mempunyai satu sukan yang diminati atau diceburinya, dengan harapan semua rakyat Malaysia cergas dan cerdas dengan bersukan.

Selasa, 14 Jun 2011

Terengganu akhirnya cuti!

DALAM NEGERI, 14 Jun: Selepas beberapa hari berteka-teki, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya memberikan cuti peristiwa kepada seluruh rakyat negeri Terengganu pada Ahad depan, 19hb Jun 2011.
Menteri Besar itu mengumumkannya ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan kontinjen Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Kuala Lumpur dan pasukan bolasepak Terengganu yang menjulang Piala FA selepas mengalahkan Kelantan dalam persaingan peringkat akhir Piala FA pada 11hb Jun, malam semalam (13hb Jun).
Sebelum ini ramai pihak termasuk pelajar sekolah merungut tentang pemberian cuti peristiwa pada Ahad lalu (12hb Jun) yang menyebabkan beberapa orang pelajar di beberapa buah sekolah di Terengganu yang sepatutnya bersekolah hari itu tidak hadir. Malah, mereka tertunggu-tunggu cuti peristiwa di negeri ini seperti yang telah berlaku di Kelantan pada 12hb Jun itu, iaitu Menteri Besar Kelantan mengumumkannya sebelum perlawanan piala FA itu bermula, sehari sebelumnya. Ini menyebabkan orang ramai menganggap kerajaan negeri Terengganu berteka-teki untuk meluluskan sesuatu cuti.
Ini kerana, alasan mereka, kalaulah Terengganu menang Piala FA dengan Kelantan cuti peristiwa boleh dilakukan pada Ahad lalu, atau jika Terengganu menang dalam SUKMA, cuti peristiwa boleh diadakan sehari selepas perasmian penutup (13hb Jun); namun jika dianalisis pemberian cuti pada 19hb Jun, kerajaan negeri Terengganu sebenarnya mahu berhati-hati dalam memberikan cuti dan tidak mahu terburu-buru dalam meluluskan sesuatu cuti itu.
Orang ramai yang mendengar berita itu ketika hadir di majlis itu malam semalam (13hb Jun) merasa lega dan memahami ia dilakukan untuk menghargai pemain-pemain bolasepak Terengganu dan juga kontinjen negeri itu dalam memburu kejuaraan masing-masing. Ia juga diberikan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menyokong pasukan bolasepak negeri itu serta kontinjen Terengganu tanpa berputus asa.
Jadi, HSBH dan seluruh rakyat Terengganu berterima kasih dengan pemberian cuti ini dan mengucapkan tahniah atas kejayaan negeri tersebut dalam memahat satu sejarah yang gemilang dalam bidang sukan dan diingati sepanjang masa.

Khamis, 9 Jun 2011

Hazem Shaqirin sertai Kem 'Soar to Excellent'.

PERIBADI, 8 JUN: Adik kepada Hafzan Shafiq bin Hamdan (HSBH) yang berada di Tingkatan 3, Hazem Shaqirin bin Hamdan menyertai berpuluh-puluh orang serta rakan yang merupakan calon PMR ke Sutra Beach Resort, Merang, Setiu Terengganu untuk menghadiri sebuah kem akademik yang dianjurkan oleh GASNITA PETRONAS Gas iaitu "Soar to Excellent Camp" 2011.
Ia juga disertai oleh beberapa orang calon UPSR, PMR dan SPM yang lain dalam kem akademik tersebut yang bertujuan membantu para calon peperiksaan untuk memastikan mereka berjaya dalam peperiksaan. Kem tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 7hb Jun lalu sehingga 9hb Jun ini. Ia terdiri daripada 9 kelas yang berlangsung sepanjang tempoh kem itu berlangsung melibatkan beberapa matapelajaran penting yang diambil dalam peperiksaan awam.

Rabu, 8 Jun 2011

Permohonan HSBH ke TATIUC berjaya.

PERIBADI, 8 JUN: Percubaan HSBH untuk memohon melanjutkan pengajian ke universiti berjaya selepas dia ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Senireka Grafik dan Media Kreatif di Kolej Universiti TATI (TATIUC) yang terletak di Telok Kalong, Kemaman, Terengganu. Perkara ini disampaikan melalui surat tawaran yang dikeluarkan oleh pihak universiti itu pada tengah hari ini.
HSBH dalam reaksinya berkata, dia berasa gembira setelah selama ini dia tidak diberikan langsung peluangnya untuk ke universiti. Namun kini, dia perlu memikirkan sama ada untuk terus kekal di Tingkatan 6Bawah atau memutuskan untuk melangkah ke universiti tersebut.
Tarikh pendaftaran untuk ke universiti tersebut adalah pada 27 Julai 2011, manakala dia akan mengikuti pengajian tersebut selama 3 tahun iaitu dari Julai ini hingga Jun 2014. Dia perlu memberikan jawapan/responsnya kepada tawaran itu sebelum 23 Jun 2011.
Sebelumnya, dia ditawarkan ke Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang dalam bidang Pengaturcaraan Komputer namun dia menolaknya kerana terlalu jauh. Dia juga ditawarkan oleh Universiti UNITI yang terletak di Negeri Sembilan tetapi menolak atas alasan yang sama.

Isnin, 6 Jun 2011

Kurang persediaan ke Tingkatan 6.

PERIBADI, 28 MEI: Hafzan Shafiq bin Hamdan (HSBH) kurang membuat persediaan untuk memasuki Tingkatan 6 apabila dia tidak membelikan sebarang buku rujukan STPM setakat ini.
Katanya, apabila dia melihat begitu banyak buku rujukan yang ingin dibeli serta kebanyakannya lebih mahal daripada buku rujukan SPM, dia memutuskan untuk menangguhkan seketika persediaannya itu. Dia difahamkan, selain buku rujukan tersebut, helaian kertas kajang (Examination Sheet) dan fail-fail juga perlu dibeli memandangkan ia penting dan telah disarankan oleh guru-guru matapelajarannya.
Oleh itu, dia ingin membeli peralatan tulis terlebih dulu dan kemudian membeli buku-buku rujukan dan fail-fail tersebut secara berperingkat-peringkat; mengikut bajet yang ada.
Katanya lagi, selepas ini, dia sekeluarga akan bercuti ke Kuala Lumpur, dan ia akan melibatkan kos yang besar; terutamanya dari segi penginapan, tol dan lain-lain lagi. Dengan itu dia mungkin mengurangkan bajetnya untuk membeli buku-buku rujukan STPM berkenaan.
HSBH menduduki kelas Tingkatan 6Bawah 2 dalam aliran kemanusiaan yang membawa empat matapelajaran seperti Bahasa Melayu, Pengajian Am, Sejarah dan Pengajian Perniagaan serta MUET yang wajib dambil oleh pelajar Tingkatan 6. HSBH mula memasuki Tingkatan 6Bawah sejak 9 Mei lepas.

Ahad, 8 Mei 2011

HSBH tidak berjaya ke IPTA.

PERIBADI, 7 MEI: HSBH gagal dalam percubaan pertamanya untuk memohon memasuki IPTA/Universiti tengah hari Jumaat lepas. Ini selepas HSBH memasukkan nombor kad pengenalannya dalam keputusan permohonan yang diadakan tengah hari tersebut. Ini bukan saja menyebabkan HSBH kecewa, malah ibu bapanya pun turut kecewa.

HSBH berkata walaupun kecewa dia akan terus berusaha untuk mendapat tempat di IPTA melalui borang e-Rayuan yang telah HSBH isikan beberapa jam kemudian. Dengan itu HSBH akan terus berdoa kepada Tuhan agar permohonannya ke IPTA akan diterima.

Keputusan permohonan ke IPTA telah diumumkan melalui laman-laman web termasuk Kementerian Pengajian Tinggi mulai 12.00 tengah hari, 6 Mei lalu. Keputusan permohonan untuk ke Politeknik pula bakal diumumkan pada 22hb Mei nanti.

HSBH akan ke tingkatan 6 esok.

PERIBADI, 8 MEI: Hafzan Shafiq bin Hamdan (HSBH) akan menghadiri pendaftaran tingkatan 6 Bawah esok, mulai jam 9.00 pagi di SMK Paka. HSBH mendapat tawaran memasuki Tingkatan 6 melalui laman web Kementerian Pelajaran, 4 Mei lepas dalam jurusan Kemanusiaan.

Ahad, 1 Mei 2011

PERHATIAN!

Catatan terbaru blog ini tidak dapat dibuat pada ketika ini kerana terhalang atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Catatan terbaru ini akan diterbitkan tidak lama lagi, oleh itu saya mengalu-alukan anda bersabar sedikit untuk melihat catatan berita-berita di sini. Jadi, teruskan bersama Blog HSBHBuletin untuk mengetahui pelbagai berita semasa yang menarik. Jumpa lagi!

Isnin, 11 April 2011

Selamat datang ke Blog HSBHBuletin!

Ya, sudah tentu! Dan saya akan mengendalikan sepenuhnya catatan dalam blog ini. Cuma nantikan berita-berita terbaru menerusi catatan yang akan dibuat tidak lama lagi. Jadi teruskan bersama Blog HSBHBuletin untuk mengikuti maklumat terkini dan semasa meliputi peribadi dan keluarga, dalam negara dan luar negara; khas untuk anda. Teruskan juga bersama MyHSBHBlog yang memuatkan catatan-catatan peribadi HSBH dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa. Blog ini hanya dikemaskini setiap minggu dan jika ada berita terkini saya akan membuat catatannya dalam masa terdekat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

HSBHCatatan Paling Ramai Baca.