Jumaat, 23 Mac 2012

SPM 2011: Tahniah kepada yang berjaya.

HSBH ucapkan tahniah kepada semua calon SPM 2011 di atas kejayaan semua calon mendapat hasil yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2011. Kesemua calon mendapat slip keputusan SPM 2011 pada 21hb Mac lalu. Berikut adalah laporan berita daripada Utusan Online mengenai peratusan pelajar mendapat gred. Seramai 559 calon mendapat semua A+, peningkatan sebanyak 156 orang calon daripada 403 calon pada tahun sebelumnya. Dikhabarkan peperiksaan SPM akan ditambah baik bagi memastikan calon mendapat keputusan yang lebih baik. Baca lebih banyak lagi cerita-cerita pelajar cemerlang SPM di Utusan Online. Kepada calon SPM yang akan mengambil SPM 2012, berusahalah sebaik mungkin untuk kejayaan para pelajar semua. Tahniah kepada semua calon!




559 calon raih keputusan A+




PUTRAJAYA 21 Mac - Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 403 calon pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, 506 calon adalah dari sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi adalah calon sekolah lain.
Katanya, pencapaian keseluruhan SPM 2011 yang menyaksikan 468,808 calon kesemuanya adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan nilai indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 berbanding 5.19 pada 2010.
"Sejak 2007 hingga 2011, nilai GPN pada setiap tahun memperlihatkan peningkatan pencapaian calon secara berterusan.
"Saya percaya peningkatan ini disebabkan usaha gigih semua pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak kita," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2011 di sini hari ini.
Menurut Abd. Ghafar, berdasarkan penilaian GPN, pencapaian calon bandar dilihat bertambah baik sebanyak 0.22 iaitu daripada 4.89 pada 2010 kepada 4.67 pada 2011.
Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga mengalami pertambahan sebanyak 0.13 iaitu daripada 5.52 kepada 5.39.
"Namun, jurang pencapaian calon di bandar dengan luar bandar telah bertambah sebanyak 0.09," katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, pencapaian sekolah yang dinilai berdasarkan indeks Gred Purata Sekolah (GPS) secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan.
Kata beliau, pencapaian sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 buah.
Bagi sekolah dalam kategori Memuaskan dan Berpotensi pula, katanya, masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17 buah.
Bagi kategori calon berkeperluan khas pula, katanya, seramai 662 calon menduduki peperiksaan lepas berbanding 629 pada tahun sebelumnya iaitu pertambahan sebanyak 33 calon.
"Daripada jumlah itu, seramai 343 calon telah berjaya mendapat sijil SPM berbanding 319 pada 2010.
"Terdapat tiga calon rabun, seorang calon cacat pendengaran, tiga calon lain-lain jenis kecacatan telah mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki," katanya. [Sumber: Utusan: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm].




Terengganu kekal cemerlang

KUALA TERENGGANU 21 Mac - Terengganu terus mengekalkan momentum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang selama empat tahun berturut-turut, kata Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.
Beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2011 negeri itu meningkat kepada 4.92 peratus berbanding 5.03 peratus pada 2010.
"Pencapaian itu mengatasi GPN Nasional 5.04 peratus dan rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh empat tahun seperti juga rekod pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.
"Saya percaya peningkatan GPN ini antaranya disebabkan penumpuan calon terhadap mata pelajaran yang diambil setelah dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan penambahan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan itu," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM negeri di sini hari ini.
Hashim berkata, pencapaian calon SPM tahun lepas pada umumnya meningkat daripada segi kualiti dan kuantiti apabila seramai 408 calon sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang iaitu A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Di KUALA LUMPUR, seramai 41 calon mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 25 calon pada 2010, dan dua daripada 55 calon istimewa mendapat keputusan cemerlang dengan masing-masing mendapat 4A+, 2A dan 3A- (calon rabun), dan 3A+, 4A, 2A- (calon kecacatan lain).
Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang berkata, sebanyak 1,002 calon tahun lepas memperoleh gred cemerlang (A+,A, A-) berbanding 792 calon pada 2010.
"Ini adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Pencapaian calon SPM bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan GPN iaitu 4.64 berbanding 4.71 pada tahun 2010 dan mengatasi GPN Nasional.
Di PULAU PINANG, seramai 57 calon mendapat gred terbaik A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 25 pelajar pada tahun 2010, kata Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin.
Seorang murid berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong yang mengalami masalah autisme, George Lee Kean Yan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 2A, 4B+ dan 3B, katanya.
Beliau berkata, seramai 850 calon tahun lepas berjaya memperoleh gred cemerlang (A dan A-) berbanding 819 pada 2010.
"Keseluruhan pencapaian calon pada 2011 amat membanggakan dan ia melebihi pencapaian tahun sebelumnya. Pencapaian meningkat dari segi GPN serta peratusan mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil," katanya.
Seramai 18,914 calon dari 21,383 calon yang hadir menduduki peperiksaan SPM 2011 layak mendapat sijil.
Di NEGERI SEMBILAN, seramai 755 calon di negeri itu cemerlang apabila memperoleh A+, A, A-, berbanding 620 orang pada tahun 2010, dengan 40 pelajar sekolah kerajaan mendapat pangkat A+ dalam semua pelajaran yang diambil.
Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak berkata berdasarkan GPN, Negeri Sembilan menduduki tempat keempat di peringkat kebangsaan.
Di IPOH, seramai 1,064 calon negeri ini memperoleh gred cemerlang dan daripada jumlah itu 42 pelajar mendapat gred cemerlang tertinggi.
Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul sekolah terbaik negeri apabila mencatat kelulusan 100 peratus dengan enam pelajarnya mendapat keputusan 9A+.
Pemangku Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idrus Ramli berkata, sebanyak 37 sekolah di negeri ini mencatat kelulusan 100 peratus.
Di KOTA BHARU, seramai 18 calon dari sembilan sekolah memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding enam pelajar pada 2010, manakala 358 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki, meningkat 80 calon berbanding 278 orang pada tahun 2010.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, seramai 36,315 calon menduduki SPM di negeri ini tahun lepas.
Di KUANTAN, jumlah pelajar cemerlang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil meningkat 1.85 peratus iaitu seramai 413 orang berbanding 381 calon pada tahun 2010.
Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin berkata, sebanyak 52 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus berbanding 37 sekolah tahun sebelumnya.
Di KANGAR, 59 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diduduki dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma mencatat jumlah paling ramai mendapat keputusan cemerlang iaitu 27 orang, kata Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa.
Beliau berkata, Munira Mahammad Noor dari Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Arau muncul pelajar terbaik negeri apabila mendapat 11A+ dan 1A.
Di JOHOR BAHRU, seramai 1,323 calon di negeri ini mendapat keputusan cemerlang dengan gred A+, A, dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 1,101 orang pada tahun 2010.
Pengarah Pelajaran Johor, Md. Nor A. Ghani berkata, GPN turut meningkat kepada 5.00 berbanding 5.19 pada tahun 2010 dan merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun lepas.
Di MELAKA, seramai 428 calon SPM memperoleh gred cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki, meningkat daripada 318 pelajar pada 2010, kata Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Yusoff Osman.
Di SARAWAK, pencapaian calon SPM 2011 secara keseluruhan menunjukkan peningkatan apabila seramai 48 calon mendapat A+ berbanding 36 calon pada 2010, kata Pengarah Pelajaran negeri, Abdillah Adam.
Di SABAH, seramai 189 pelajar memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 152 pada 2010, kata pengarah pelajaran negeri, Datuk Dr. Muhiddin Yussin. - BERNAMA [Sumber: Utusan: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm].

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya yang berdaftar saja boleh komen di sini. Jangan komen sesuatu yang boleh menimbulkan implikasi kepada sesiapa. Komen yang memang tak masuk akal akan dibuang. Sekian, harap maklum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

HSBHCatatan Paling Ramai Baca.